15 Apr 2012
Misteri tengkorak dalam dusun
PONTIAN - “Pada mulanya saya sangka sekumpulan remaja itu bergurau, namun setelah melihat dengan mata kepala sendiri, barulah saya percaya cerita mereka bertemu tulang manusia di dusun buah itu benar,” demikian beritahu Abd Halim Abd Ghani, 41, yang terkejut dengan penemuan tidak disangka-sangka itu.
Menceritakan detik-detik awal sebelum menjumpai tulang manusia itu, Abd Halim yang juga seorang penjual burger di Kampung Pasir, Pekan Nenas, berkata, segala-galanya bermula setelah mendengar cerita sekumpulan remaja yang datang berkunjung ke gerainya.
“Ada empat remaja belasan tahun datang ke gerai burger saya yang terletak betul-betul di hadapan sebuah dusun buah-buahan itu kira-kira jam 7 malam Khamis lalu.
“Mereka memberitahu saya yang mereka terjumpa tulang manusia di dalam dusun berkenaan, namun saya tidak ambil peduli kerana menyangka mereka hanya bergurau. Lagipun dusun itu memang sering menjadi lokasi tumpuan remaja mengambil buah mempelam dan jering,” katanya.
Bagaimanapun, Abd Halim berkata, hatinya berasa gusar sebaik sahaja tiba di rumah selepas habis berniaga.
“Saya tidak boleh tidur mengenangkan cerita sekumpulan remaja tersebut. Kata-kata mereka menyebabkan saya jadi tidak sedap hati,” katanya.
Berikutan itu, keesokan harinya Abd Halim bertekad memberitahu salah seorang sahabatnya, Mohd Salleh Marim, 65, tentang perkara tersebut.
“Kira-kira jam 4 petang Jumaat, saya dan Mohd Salleh pergi ke dusun berkenaan untuk memastikan kebenaran cerita yang diberitahu remaja tersebut.
“Alangkah terperanjatnya kami apabila ternyata mereka bercakap benar. Kami jumpa tulang-temulang manusia berserakan di bawah pohon mempelam di dalam dusun tersebut,” katanya.
Menurut Abd Halim, pada mulanya dia mengesyaki tulang yang berserakan itu adalah tulang haiwan, namun mengakui ia tulang manusia setelah menemui tengkorak yang masih mempunyai gigi.
“Hampir keseluruhan tulang tersebut telah tertimbus ke dalam tanah. Tulang-tulang yang berserak dipercayai akibat dimakan biawak,” katanya yang turut menemui sehelai baju-T berwarna kelabu di kawasan tersebut.
Dia kemudian mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Nenas pada hari yang sama.
Sementara itu, Mohd Salleh yang juga Ketua Umno Cawangan Kampung Pasir pula berkata, dia amat terperanjat dengan penemuan itu kerana tidak ada penduduk yang bercerita mengenai bau busuk di dalam dusun berkenaan sebelum ini.
Menurutnya, kawasan dusun terbabit berhampiran dengan kawasan perumahan di Taman Sri Bahagia 2 dan juga beberapa rumah penduduk Kampung Pasir.
“Kemungkinan tulang terbabit milik warga asing kerana tidak ada orang kampung ini yang mengadu kehilangan ahli keluarga,” katanya.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zahliman Jamin berkata, pihaknya terus berkejar ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat orang awam.
Katanya, berdasarkan pakaian yang ditemui, dipercayai tulang terbabit milik seorang lelaki dan ia dibawa ke Hospital Pontian sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan dan berdasarkan tulang yang dijumpai, kemungkinan ia telah lama berada dalam dusun terbabit,” katanya.
Sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment